Monday, April 9, 2012

MEMBERI KEMUDAHAN KEPADA RAKYAT MALAYSIA DI LUAR NEGARA SAMA ADA MENGUNDI DI PERWAKILAN MALAYSIA ATAU SECARA POS

MEMBERI KEMUDAHAN KEPADA RAKYAT MALAYSIA DI LUAR NEGARA SAMA ADA MENGUNDI DI PERWAKILAN MALAYSIA ATAU SECARA POS

1.1. Jawatankuasa menyusul cadangan dalam Laporan Jawatankuasa (DR. 3/2011) untuk membenarkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara sama ada mengundi awal di Perwakilan Malaysia atau mengundi secara pos.

1.2. Jawatankuasa mengambil maklum bahawa untuk membenarkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara mengundi di Perwakilan Malaysia adalah sukar bagi SPR untuk melaksanakannya berdasarkan sistem pilihan raya sedia ada dan isu logistik. Pandangan ini turut disokong dengan maklum balas daripada Kementerian Luar Negeri.

1.3. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan SPR untuk mengkaji kemungkinan untuk membenarkan warganegara Malaysia yang berada di luar negara untuk mengundi secara pos tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

1.4. Jawatankuasa mengambil maklum syarat-syarat yang dicadangkan oleh SPR seperti yang berikut:

(a) Telah mendaftar sebagai pemilih; dan

(b) Hendaklah balik ke Malaysia sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima (5) tahun terdahulu sehingga pada tarikh memohon untuk mengundi sebagai pengundi pos.

1.5. Jawatankuasa mengesyorkan SPR berbincang dengan pihak-pihak berkuasa terlibat dalam tempoh 3 bulan dari tarikh laporan ini diterima oleh Dewan Rakyat bagi membolehkan syarat-syarat tersebut dikuatkuasakan melalui penggubalan kerangka undang-undang yang
berkaitan.

1.6. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan ini juga akan melibatkan pindaan pada seksyen 16 Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

1.7. Jawatankuasa mengesyorkan SPR mengkaji suatu kaedah lain yang melibatkan penghantaran kertas undi melalui pos terus kepada pengundi di luar negara dan penghantaran balik kertas undi itu dibuat melalui pejabat Perwakilan Malaysia untuk dihantar terus ke Ibu Pejabat SPR bagi proses pengiraan undi dan proses seterusnya.

No comments: