Wednesday, September 26, 2012

UCAPAN SAYA SEMALAM MENYOKONG USUL MEMBANTAH FILEM 'INNOCENCE OF MUSLIMS' & ISU MENGENAI Dr. ZAKIR NAIK DI DEWAN RAKYAT PADA 26hb SEP. 2012

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. 

Memang tidak dapat dinafikan filem ini bukan sahaja membangkitkan kemarahan rakan-rakan saya yang beragama Islam malah yang bukan beragama Islam juga marah kerana filem keluaran Sam Bacile ini tidak sama sekali mengambil kira perasaan orang-orang lain malah ada juga yang menyatakan kemungkinan besar ianya sengaja diwujudkan.

Malaysia mengamalkan dan memberi pengiktirafan kepada semua agama malah dalam Rukun Negara kita ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’ merupakan tunggak pertama yang menjadi denyutan setiap rakyat Malaysia. Malah Kerajaan Malaysia tidak pernah lesu membantu semua tempat- tempat beribadat di Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan juga latar belakang.

Usul membantah ini akan memberi mesej yang jelas kepada masyarakat dunia bahawa rakyat Malaysia bersatu padu dalam membantah filem Innocence of Muslims, yang bezanya ialah kita melakukan dengan cara yang lebih bertamadun dan rasional.

Sebagai rakyat Malaysia kita harus bekerjasama untuk menghormati toleransi yang lebih besar dan kefahaman ini merupakan ramuan untuk kita hidup secara aman dan harmoni.

Isu filem ini bukan merupakan satu isu agama Islam semata-mata malah ini boleh berlaku kepada agama saya iaitu agama Hindu, agama Kristian, agama Sikhsm, agama Buddism. Ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Dalam konteks yang sama Tuan Yang di-Pertua, dunia siber dikejutkan dua atau tiga hari yang lalu, ada seorang penceramah kontroversi agama daripada India, Dr. Zakir Naik akan mengunjungi Malaysia untuk mengadakan beberapa ceramah di seluruh Malaysia.

Sekiranya beliau ingin memberi ceramah agama tiada masalah tetapi beliau sentiasa mencela dan menghina agama lain khasnya agama Hindu. Penceramah ini akan merosakkan ramuan Malaysia, akan merosakkan harmoni yang ada di Malaysia. Beliau sentiasa mengkritik agama lain semasa ceramah beliau malah beliau dilarang pergi ke negara United Kingdom, Kanada dan Singapura.

Tuan Yang di-Pertua, saya bagi pihak diri saya sendiri, bagi pihak parti MIC dan juga warga Hulu Selangor membantah filem ini dan menyokong penuh usul yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kubang Kerian. Sekian, terima kasih.

No comments: