Wednesday, November 21, 2012

UCAPAN SAYA MENYOKONG USUL YAB PERDANA MENTERI - MENGECAM KEGANASAN ISRAEL TERHADAP PALESTINE



Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana sudi memberi peluang kepada saya memberi sokongan kepada usul bagi pihak MIC. 
Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong usul yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melalui Yang Berhormat Menteri, mengecam sekeras- kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas Wilayah Palestin di Gaza. Menyekat usaha membunuh wanita, kanak-kanak dan orang awam.
Kekejaman Israel wajar dan mesti ditamatkan segera demi menghormati hak kemanusiaan sejagat. Malaysia perlu bersatu hati, bulat muafakat menyarankan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bertindak tegas mengarahkan Israel menghentikan serangan maut serta-merta termasuklah proses gencatan senjata. 
Presiden Amerika Syarikat yang berada di Myanmar semalam menyatakan tentang isu kebebasan demokrasi dan juga masa depan malangnya tidak tersentuh langsung tentang kematian orang awam di Gaza. Kita harus menyeru masyarakat dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Barack Obama sekali lagi bertindak tegas mendukung kukuh panji-panji keamanan dengan mendorong semua negara khususnya kuasa Barat bersama mengutuk peristiwa berdarah ini. 
Malaysia sentiasa berdoa dan mencadangkan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu segera menjalankan sesi tergempar khas perhimpunan Agong Bangsa-bangsa Bersatu, Uniting  For Peace di bawah resolusi 377 A5. Sekiranya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu gagal jalankan tanggungjawabnya.
Melahirkan kekesalan dan kekecewaan berulangnya kronologi serangan Israel terhadap Gaza yang beberapa kali terpahat dalam lipatan sejarah sejak 15 tahun dahulu. Saya ingin memetik kenyataan kejam dan zalim beberapa pemimpin Israel.
Dengan izin, Gilad Sharon anak kepada Ariel Sharon menulis dalam The Jerusalem Post dengan izin, “We need to flatten entire neighborhood in Gaza, flatten all of Gaza”. 
Seterusnya Timbalan Perdana Menteri Israel pula Eli Yishai menyatakan kepada The Yeshiva World News, dengan izin, “We must blow Gaza back to the middle ages destroying all the infrastructure including roads and waters. The goals of operation is to send Gaza back to the middle ages,” dengan izin. 
Presiden Perez pula dengan izin menyatakan, “We are trying our best not to hit any civilian on the other side but war is war, what can we do”, dengan izin. 
Inilah kenyataan iblis, kenyataan seorang manusia yang tidak bertanggungjawab langsung dan kita harus mengambil tindakan yang sewajarnya kalau perlu seperti mana yang dikatakan oleh Yang Berhormat Marang sebentar tadi kita harus kemukakan mereka di criminal court.
Tuan Yang di-Pertua, bersatu idea bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita gesa pihak-pihak terbabit menyambung proses perdamaian dan juga mematuhi resolusi yang ditetapkan oleh PBB berkaitan isu Palestin dan konflik Arab-Israel ini. Justeru marilah kita bersama menjulang piagam PBB dalam menangani konflik ini. Kerjasama Malaysia bersama negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam, Pergerakan Negara-negara Berkecuali Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk ambil tindakan konkrit.
Malaysia negara bebas merdeka. Bertitik tolak dari sini kita harus mendorongkan sokongan kepada rakyat Palestin yang berjuang di negara mereka sendiri, yang merdeka dan berdaulat. Keharmonian rakyat menjulang prinsip 1Malaysia, hidup aman lebih 55 tahun selepas kemerdekaan menjadi contoh negara dan kuasa besar di dunia. Kita seru rakyat Palestin bersatu-padu pertahankan hak merdeka. ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.’
Di Dewan yang mulia ini satu suara, satu tekad perlu dilahirkan bersama, marilah kita hulurkan bantuan keamanan kepada penduduk Palestin dan Gaza kerana Kerajaan Malaysia sentiasa prihatin, ke depan untuk membantu masyarakat dunia. Contohnya mangsa-mangsa di Rohingya, bantuan Kerajaan Persekutuan kepada rakyat Sri Lanka berketurunan Tamil terus diberi bantuan. Pasukan-pasukan MERCY Malaysia, Kelab Putera 1Malaysia sentiasa menghulurkan bantuan. Saya ingin mencadangkan bahawa kita teruskan perjuangan kita dengan bantuan kerjasama-kerjasama untuk memastikan kita membina semula Gaza dengan sokongan padu Kerajaan Malaysia.
Mahkamah Keadilan dituntut oleh warga Malaysia. PBB wajib menjalankan siasatan dan mendakwa penjenayah dan tindakan kejam yang dilakukan ke atas rakyat Palestin. Resolusi yang dicadangkan oleh Perdana Menteri disokong penuh, disampaikan kesemua dewan perundangan dan Parlimen di beberapa negara khasnya Amerika Syarikat, Britain, Kesatuan Eropah dan PBB.
Tuan Yang di-Pertua, bagi pihak parti MIC, Barisan Nasional, rakyat Hulu Selangor dan rakyat negeri Selangor menyeru seluruh dunia yang cintakan keamanan dan toleransi wasatiyyah Malaysia akan bersama kita dalam isu ini atas nama cintakan kedamaian. Saya mohon menyokong resolusi suci setulus ikhlas ini. Sekian, terima kasih. 

No comments: