Wednesday, June 22, 2011

PUSAT PEMULIHAN ALKOHOLIK

P Kamalanathan a/l P Panchanathan (Hulu Selangor) minta Menteri Pembangungan Wanita, Keluarga & Masyarakat menyatakan adakah perancangan untuk mewujudkan 'Pusat Pemulihan Alkoholik' sama seperti 'Pusat Pemulihan Dadah' untuk membantu mangsa-mangsa alkoholik melepaskan tabiat buruk ini yang membawa pelbagai masalah sosial sekiranya tidak dibendung.

JAWAPAN

Pihak Kementerian menyambut baik akan cadangan Ahli yang Berhormat untuk mewujudkan pusat pemulihan alkoholik bagi membantu individu yang menghadapi masalah ketagihan alkohol.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, 'Alcoholic Anonymous' (AA) iaitu satu badan sukarelawan telah pun membuka 5 buah pusat pemulihan Alkoholik iaitu di;

1) Kuala Lumpur (Tamil Methodist Church, Brickfields dan St. Johns, Bukit Nenas);
2) Pulau Pinang (St. Josephs Orphanage);
3) Johor Bahru (Hospital Permai);
4) Sarawak (Rumah Kenyalang, Miri); dan
5) Ipoh (YMCA)

Program oleh AA ini dijalankan oleh sekumpulan individu yang telah berjaya keluar daripada masalah ketagihan alkohol. Sehubungan itu, buat masa ini KPWKM belum bercadang untuk membuka pusat pemulihan alkoholik

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat melalui agensi di bawahnya menjalankan pelbagai program dan aktiviti pembangunan sosial untuk memberi kesedaran dan meningkatkan pengetahuan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat ke arah membina masyarakat Malaysia yang kukuh dengan nilai-nilai yang murni.

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) misalnya telah melaksanakan program Cakna Diri dan Permata Kasih khusus untuk golongan remaja memperkukuhkan jati diri dalam menghadapi cabaran hidup masa kini.

Kementerian juga telah melancarkan Modul Kesejahteraan Hidup untuk golongan muda yang berumur 13 hingga 24 tahun. Modul ini bertujuan untuk membentuk golongan remaja dan keluarga yang sihat dan sejahtera demi mendukung hasrat menyertai kegiatan-kegiatan yang berfaedah dan menghindari gejala sosial tidak baik seperti mengambil minuman alkohol, mengamalkan budaya seks bebas, lepak, vandalisme dan seumpamanya.

Selain LPPKN, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga menjalankan berbagai program demi kepentingan masyarakat dan rakyat seluruhnya. Semua program dan aktiviti yang dirancang adalah menjurus kepada usaha-usaha untuk mewujudkan kehidupan yang sejahtera dan menjauhi kegiatan serta amalan negatif.

Saya berharap Yang Berhormat dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain juga dapat membantu menyampaikan hasrat ikhlas Kerajaan kepada semua rakyat di kawasan masing-masing dalam menangani masalah sosial yang semakin mencabar serta turut melibatkan semua pihak terutama NGO, pemimpin tempatan, ketua-ketua masyarakat, badan-badan korporat dan orang-perseorangan.

Saya percaya dengan tindakan bersepadu antara Kerajaan dan masyarakat, kita tidak perlu mengadakan pusat-pusat pemulihan alkoholik seperti ini kerana gejala negatif seperti itu boleh dibenteras lebih awal lagi.

2 comments:

Stanley David said...

Sebenarnya kita perlu ada pusat pemulihan alkohol bagi membantu mereka yang sudah terjerumus dalam masalah ini. Apa yang pihak kerajaan sedang lakukan sememangnya baik dalam usaha mencegah gejala negatif ini. Tapi itu masih tidak memadai kerana pihak kerajaan juga harus prihatin terhadap mereka yang terjerat dalam ketagihan alcohol.
Ternyata pihak kerajaan tidak serius dalam menangani isu ini kerana hanya bersandar pada usaha NGO seperti AA.
Apa yang diusahakan oleo AA sebenarnya masih belum memadai kerana mereka hanya memberi khidmat kaunseling kepada individu yang bermasalah dalam ketagihan alcohol. Apa yang diperlukan oleh individu yang ketagihan alkohol adalah persekitaran yang baik dan terkawal sama seperti orang yang ketagihan dadah. Itu sebabnya mengapa kita perlu pusat pemulihan yang khas untuk masalah ketagihan alkohol.
Di Sabah, dan sarawak, meminum minuman keras adalah suatu kebiasaan dalam majlis2 atau perayaan2 yang diadakan. Kanak2 dan remaja hidup dalam persekitaran yang menggalakan mereka mengambil minuman keras, dan apabila meningkat dewasa terjerat dalam ketagihan alkohol. Ramai di antara mereka yang gagal untuk berubah Dan sangat memerlukan bantuan untuk pulih. Mereka boleh saja mengikuti sesi2 kaunseling yang dijalankan oleh NGO seperti AA, dan mendapat khidmat nasihat yang diperlukan. Tapi selepas sesi kaunseling, mereka akan pulang ke rumah akan kembali kepada persekitaran yang tidak mendorong mereka untuk pulih.
Seperti yang kita tahu, AA tidak menyediakan tempat untuk nursing. Tiada persekitaran yang terkawal.
Oleh itu, kita sebenarnya PERLU pusat2 yang boleh menempatkan mereka yang ketagihan alkohol dan membantu mereka untuk pulih. Diharapkan Yang Berhormat dapat membangkitkan isu ini sekali lagi di Parlimen dan berseru kepada pihak kerajaan untuk lebih serius, proaktif, dan prihatin.

Anonymous said...

Saya amat tertarik dengan masalah ini, memang benar kita perlu pusat pemulihan ketagih arak yang serius, kerana masalah arak banyak terjadi tak kira faktor umur atau agama, saya berharap kerajaan tidak pandang masalah arak isu yang kecil dan tidak berharap NGO sahaja.