Terima Kasih Tan Sri Yang Di Pertua;
Salam Sejahtera, Salam Hormat & Salam 1Malaysia.
Walaupun sidang Belanjawan 2012 ini telah diadakan di bangunan yang sementara ini namun saya pasti yang segala perancangan serta implikasi belanjawan tersebut akan membawa kepada pertumbuhan jangka panjang negara yang bersifat positif dan merangkumi pelbagai aspek negara seperti ekonomi, sosial dan pembangunan.
Belanjawan tahun ini merupakan aspirasi YAB Perdana Menteri DS Mohd. Najib Tun Abdul Razak untuk mendemontrasikankan konsep 1Malaysia serta mempraktikan tema rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan. Ramai menggelarkan belanjawan tahun ini sebagai “a peoples budget” dan saya amat bersetuju kerana belanjawan ini merupakan satu belanjawan yang sangat komprehensif dan terperinci hinggakan tiada mana-mana lapisan masyarakat yang diabaikan daripada agenda pembangunan negara.
Bagi pihak Rakyat Hulu Selangor saya ingin mengucapkan syabas kepada YAB DS Mohd. Najib Tun Abdul Razak serta pasukannya yang telah berjaya menyediakkan sebuah belanjawan yang pasti menjadikan negara lebih kental dalam mengharungi cabaran ekonomi yang melanda seluruh dunia.
This “Isn't just a people's budget, it’s a people's future budget” - dengan izin, belanjawan ini juga menunjukkan ikthibar kerajaan untuk memastikan yang proses transformasi negara akan terus berlaku sehinggakan negara kita mencapai matlamat menjadi negara membangunan dan berpendapatan tinggi.
Pada 18hb Oktober 2010 semasa ucapan belanjawan saya yang pertama saya menyatakan berikut "Satu cara untuk menggalakkkan sifat pro aktif ini adalah dengan membenarkan segala derma dan sumbangan kepada sekolah sekolah menjadi dengan izin “tax exemption” atau pengecualian cukai untuk sumbangan tersebut"
Saya sangat sangat gembira dan terharu dengan ke keputusan YAB Perdana Menteri kerana pada belanjawan ini beliau telah mengumumkan bahawa kerajaan menjadikan segala derma kepada sekolah dan rumah ibadat dijadikan pengecualian cukai. Langkah sebegini akan meningkatkan motivasi untuk rakyat jelata dan juga syarikat-syarikat untuk memberikan derma kepada institusi ibadat dan sekolah.
Terdapat 2 kebaikkan yang diperolehi daripada langkah ini;
Pertama: Ianya akan menjadi jambatan untuk institusi-instutusi tersebut mendapat bantuan kewangan.
Kedua: Rakyat boleh memainkan peranan yang lebih langsung untuk menjadi enjin perubahan kepada hidup mereka.
Tempat ibadat dan sekolah menjadi tempat dimana akhlak dan sanubari seseorang itu dibina. Dengan memartabatkan kan tempat-tempat tersebut maka mereka yang menderma menjadi agen perubahan sosial yang lansung kepada persekitaran mereka. Selain itu generasi muda dan penganut penganut tempat-tempat ibadat juga akan mendapat kesan positif yang jangka panjang.
Skim Rumah Pertamaku yang telah dilancarkan oleh Kerajaan Barisan Nasional merupakan satu langkah yang tepat pada masa dan sangat berpatutan, rancangan ini juga telah memberi harapan kepada graduan-graduan muda untuk memiliki rumah pertama mereka, keputusan Kerajaan untuk meningkatkan had maksimum harga rumah daripada 220 ribu ringgit kepada 400 ribu ringgit akan memberi peluang kepada lebih ramai pembeli-pembeli seluruh Malaysia di kawasan pinggiran kota raya dan juga kawasan bandar.
Langkah ini pasti akan menjadikkan impian menjadi pemilik rumah menjadi realiti kepada ramai yang mengambil bahagian dalam Skim Rumah Pertamaku ini. Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada pihak kerajaan kerana langkah mereka menaikkan cukai untung untuk penjualan rumah sebelum 2 tahun, langkah ini akan membantu menstabilkan harga hartanah dan sekali gus menjadikkan harga rumah lebih berpatutan.
Cadangan Kerajaan untuk memajukan beberapa bidang tanah milik kerajaan di sekitar Sungai Besi dan Sungai Buloh untuk projek Perumahan Rakyat 1Malaysia amat di alu-alukan. Saya amat berharap dalam usaha melalui Program pemulihan Rumah Terbengkalai yang mana 63 Juta ringgit telah diperuntukan, projek-projek perumahan terbengkalai dan terbiar di Hulu Selangor juga akan turut di usahakan.
Tan Sri Yang Di Pertua,
Generasi muda yang baru berkecimpung dalam dunia pekerjaan terdapat beberapa perkara yang golongan tersebut ingin mencapai secapat mungkin. Pertama adalah sebuah pekerjaan yang stabil, kedua sebuah rumah yang boleh dipanggil rumah sendiri dan ketiga adalah sebuah kereta untuk membolehkan mereka berulang alik dari rumah ke kerja.
Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk mengkaji jika sama ada pihak kerajaan boleh memulakan satu program yang mungkin boleh kita namakan 'Skim Kereta Pertamaku' mungkin dengan kerjasama Syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. lebih di kenali sebagai Perodua Nasional.
Saya mencadangkan supaya program perintis 'Skim Kereta Pertamaku' dikelolakan dengan kerjasama kilang ultra moden Perodua kerana ianya berpusat di Hulu Selangor. Saya pasti yang langkah tersebut akan mendapat sambutan yang amat baik daripada rakyat yang khasnya ingin memiliki kenderaan sendiri untuk memudahkan perjalanan ke tempat kerja dan balik. Kerajaan boleh mengujudkan satu mekanisma yang berpatutan dengan kerjasama bank-bank tempatan.
Tan Sri Yang Di Pertua;
Sekalung penghargaan kepada YAB Perdana Menteri kerana sudi menambah sekali ganda kepada 300 Juta ringgit kepada TEKUN Nasional dengan harapan ianya akan memberi rangsangan kepada usahawan kecil. Peruntukan 100 Juta ringgit yang di sediakan Khas untuk Ushawan Kaum India akan membantu ramai belia india yang sangat ingin menjadi usahawan yang berjaya.
Mereka mempunyai kesanggupan bekerja keras dan juga mempunyai pengalaman serta pengetahuan mendalam tentang bidang perniagaan yang diceburi. Malangnya mereka tidak mendapat menerima bantuan kewangan tersebut pada masa dan saat yang di perlukan untuk membangunkan perniagaan mereka.
Oleh yang demikian peruntukan 100 Juta ringgit ini sudah tentu akan mendapat sambutan yang hebat dan menggalakkkan daripada beribu-ribu usahawan india yang sedang mencari jawapan kepada persoalan bagaimanakah mereka dapat memperkasakan perniagaan mereka. Selain daripada membantu peniaga dan usahawan tersebut langkah ini juga sehaluan dengan agenda ekonomi negara yang ingin membangunkan SME negara untuk menjadi penjana dan enjin pertumbuhan ekonomi negara.
Program Tekun Nasional ini amat berjaya dan berimpak tinggi namun ada suatu perkara yang tidak begitu mengalakkan, oleh yang demikian, saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya kebaikkan optimum program tersebut boleh dicapai. Buat masa ini dana tekun ini hanya boleh dipohon bermusim atau seasonally. Saya ingin mencadangkan kepada pihak Kerajaan supaya dana ini dibuka untuk permohonan sepanjang tahun supaya lebih ramai pengusaha, usahawan akan mendapat maanfaat dan kebaikkan daripadanya.
Tan Sri Yang Di Pertua;
Tidak dapat dinafikan yang bangku sekolah adalah fasa kehidupan seseorang yang sangat penting dari segi membentuk akhlak serta menjadi batu lonjatan kepada anak tersebut sehingga beliau menjadi penuntut di menara gading pada masa hadapan. Di peringkat inilah seseorang itu akan mempelajari ciri ciri seperti disiplin dan jati diri serta membentuk sifat dan sikap yang kritikal untuk menjadi seorang pelajar dan manusia yang berguna kepada masyarakat dan negara.
Dalam konteks ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB DS Mohd. Najib Tun Abdul Razak atas usaha kerajaan menyediakan dana 100 juta ringgit untuk membaikpulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan serta mempakasakan sekolah-sekolah tamil.
Dana ini pasti menjadi faktor yang penting untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang sangat efektif dan sempurna untuk beribu-ribu pelajar sekolah sekolah tamil tersebut, saya yakin dengan bantuan ini prestasi serta keungulan pelajar sekolah tersebut pasti akan meningkat dan menjadi lebih cemerlang.
Walaubagaimanapun saya ingin menyeru pihak kerajaan untuk mengkaji dengan lebih mendalam isu sekolah-sekolah tamil dinegara dan mengstukturkan satu pelan yang menyeluruh untuk membaikpulihkan kesemua sekolah tamil di negara. Tindakan ini akan dapat memastikan satu isu yang penting untuk masyarakat india dapat diselesaikan dengan sempurna dalam jangkan masa yang munasabah.
Peruntukan Pembangunan serta peruntukan melalui tabung khas pembinaan, penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah kepada semua sekolah merupakan lagi satu contoh dimana laungan 1MALAYSIA dapat di dilihat sacara praktikal. Kerajaan Barisan Nasional telah membuktikan bahawa konsep 1Malaysia bukan sahaja retorik tetapi menjadi asas kukuh kepada visi YAB Perdana Menteri untuk menjadikkan negara kita sebuah negara yang bersatu dan bersekutu dalam membangunankan semua keperluan kehidupan seorang warganegara.
Tan Sri Yang Di Pertua;
Saya juga ingin mencadangkan kepada Kerajaan untuk mengkaji dan menyelidik jika semua warganegara dari pelbagai kaum dan agama mempunyai tapak perkuburan yang sesuai dan secukupnya. Tapak perkuburan merupakan tempat terakhir seseorang itu disemadikan tetapi masa kini sering kita kedengaran tentang ketidak cukupan tempat untuk tempat abadi dan suci tersebut.
Saya pasti, sekiranya kerajaan boleh mencari penyelesaian tetap untuk masalah tersebut maka saya pasti tiada pihak yang tidak akan berterimakasih kerana ini akan menjadi bukti kukuh yang kerajaan secara literal mengutamakan kebaikkan rakyat “from womb to tomb” dengan izin atau dari rahim hingga kubur.
Tan Sri Yang Di Pertua;
Saya macam tidak percaya apabila YAB Perdana Menteri mengumumkan bahawa bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan insuran takaful dimansuhkan - dengan keputusan ini, kini kita boleh berdabik dada dan menyatakan kepada dunia bahawa Di Malaysia Pendidikan rendah dan Menengah di Sekolah-Sekolah Kerajaan adalah percuma.
Saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran kerana mengambil langkah memansuhkan yuran tahunan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah. Langkah sebegini pasti meringankan beban kewangan ibu bapa khasnya mereka yang mempunyai lebih daripada 2 anak.
Langkah ini juga menunjukkan keprihatian kerajaan untuk golongan ibu bapa yang bertungkus lumus untuk memberikan anak-anak mereka kehidupan yang lebih maju dan selesa daripada yang mereka menikmati. Langkah ini akan membolehkan ibu bapa tersebut untuk menggunakan wang yang disimpan itu untuk perkara-perkara lain yang mereka inginkan.
Kerajaan juga tidak mengabaikan tanggungjawab sosial mereka kepada ibu bapa dengan memberikan mereka 100 ringgit untuk setiap pelajar supaya meringankan beban perbelanjaan persekolahan. Pemberian baucar buku bernilai 200 ringgit kepada pelajar-pelajar IPTA, IPTS, matrikulasi dan tingkatan 6 juga merupakan satu bantuan yang sangat di hargai, Elaun ini akan pergi jauh dalam membolehkan pelajar-pelajar mendapat buku buku yang sesuai untuk mereka melengkapi diri menjadi pelajar yang mencapai sukses dalam bidang pelajaran yang diceburi. - rata2 rakan2 saya di Hulu Selangor terharu dan apabila berjumpa saya baru-baru ini mereka menyifatkan pemberian ini sebagai satu bantuan yang amat mereka menghargai.
Di jangka lebih kurang 45,000 pelajar di Hulu Selangor sedang belajar di sekolah rendah dan menengah. Kedua-dua langkah ini bukan sahaja meringankan beban kewangan ibu bapa tetapi juga menjadi cara untuk memertabatkan kualiti pendidikan negara supaya sehaluan dengan agenda Pendidikan negara.
Saya rasa ada satu aspek yang kurang dalam belanjawan ini ialah peruntukkan untuk membina lebih banyak lagi Taman Asuhan Kanak-Kanak, Pusat Anak PERMATA Negara, Community Builders, KEMAS telah memastikan Anak-Anak di beri asuhan yang awal sebelum mereka menjejak kaki di Tadika ataupun Sekolah Rendah - saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima Kasih kepada YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansur kerana sudi melancarkan Pusat PERMATA Di Hulu Selangor.
Saya ingin mencadangkan agar bantuan Kewangan di beri kepada badan-badan seperti Pusat Anak PERMATA Negara ataupun Community Builders supaya mereka dapat meneruskan memberi perkhidmatan Pendidikan awal kepada golongan yang memerlukan dan untuk mengalakkan lebih banyak lagi Syarikat swasta turut membantu untuk penubuhan Pusat-Pusat asuhan awal ini, mungkin perlepasan cukai dapat di beri kepada mereka yang membantu.
Tan Sri Yang Di Pertua;
Peruntukan tambahan sebanyak 150 Juta ringgit untuk memperkukuh perkhidmatan bas di Luar Bandar memberi senyuman kepada ribuan penduduk bukan sahaja di Hulu Selangor, tetapi di Seluruh Malaysia. Saya sedar bantuan ini akan membantu pengusaha bas mini, bas berhenti-henti dan juga bas sekolah - saya ingin mencadangkan agar sebagai satu lagi langkah untuk meringankan beban Ibu-bapa, agar bantuan ataupun baucar pengangkutan di beri kepada murid-murid yang mana rumah mereka jauh dari lokasi sekolah, Ramai pelajar tidak dapat atau bersusahpayah untuk pergi ke sekolah kerana mereka mengalami sekatan kewangan dalam erti kata kos pengangkutan ke sekolah.
Ada diantara golongan ini yang tidak mendapat perkhidmatan pengangkutan awam kerana rumah mereka terletak dalam kawasan terpencil dan pendalaman - memandangkan dana 150 Juta ini termasuk bantuan kepada pengusaha bas sekolah, maka saya pasti kita boleh mengenal pasti satu mekanisma bagaimana kita dapat mempraktikan cadangan ini. Saya juga amat berharap Tabung Pembangunan Pengangkutan Awam ini tidak akan menyukarkan proses permohonan untuk mendapatkan dana ini dan pada masa yang sama mereka juga harus memastikan bahawa langkah-langkah harus di ambil untuk mewawarkan kepada pengusaha-pengusaha bas ini supaya mengunakan dana yang telah di sediakan oleh Kerajaan Barisan Nasional ini.
Tan Sri Yang Di Pertua;
Bumi Hulu Selangor bumi yang mana lokasinya sangat indah dan mempunyai pelbagai flora dan fauna. Selain menjadi tempat tarikan pelancong keadaan semulajadinya serta kos hidupan seharian yang tidak semahal kehidupan di kota menjadikan Hulu Selangor suatu tempat yang idil untuk dijadikan hab pendididkan yang sempurna.
Kerajaan Barisan Nasional telah banyak membantu Hulu Selangor dan kini kita mempunyai infrastuktur tambahan seperti lebuhraya Utara-Selatan yang mana di Hulu Selangor sahaja kita ada 6 exit point dan setelah selesai PLUS Interchange Sungai Buaya kita akan ada 7 exit point, jalan raya persekutuan yang bakal akan di naik taraf dan stesyen keretapi yang serba moden.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan bahawa pada 10hb Oktober 2011, Kolej Universiti Binary telah menjejak kaki di Bumi Hulu Selangor dan saya mengucapkan terima kasih kepada YB Menteri Pengajian Tinggi yang sudi merasmikan Majlis Pecah Tanah tersebut Di Serendah.
Berdasarkan Fokus ke-3 Belanjawan: Program Transformasi Luar Bandar, Pembangunan Luar Bandar yang menyeluruh - Amatlah besar harapan kami di Hulu Selangor agar Kolej Universiti ini akan di beri taraf Universiti.
Peningkatan taraf ini pasti dapat menarik lebih ramai lagi Pelajar-Pelajar dan juga pada masa yang sama akan mengantarabangsakan Hulu Selangor dan pada masa yang sama ekonomi negeri dan negara akan berkembang, visi untuk menjadikkan negara kita sebagai pusat pendidikan serantau juga dapat direalisasikan.
Rakyat di persekitaran Hulu Selangor juga akan dapat meraih pembangunan ekonomi hasil daripada down stream economic activity - dengan izin, hasil daripada pembentukkan university di kawasan tersebut serta dengan adanya Sekolah-Sekolah rendah (Kebangsaan, Cina, Tamil (yang bakal di bina), Agama) dan sekolah menengah di serendah akan memungkinkan satu situasi menang-menang untuk semua pihak yang berkaitan dengan projek tersebut.
Tan Sri Yang Di Pertua;
Saya ingin menggunakan peluang ini untuk merakamkan terima kasih saya kepada kerajaan Barisan Nasional yang telah mengambil langkah pro aktif dalam mengambil kira keperluan dan kepentingan warga emas negara dalam belanjawan tahun hadapan. Warga emas ini adalah generasi yang telah banyak berkhidmat untuk pembangunana negara kita yang dicintai, ia adalah mustahil untuk kita meletakkan nilai ringgit dan sen untuk segala pengorbanan serta penat lelah mereka pada masa lalu supaya generasi-genarasi berikutnya boleh menikmati kehidupan yang lebih selesa.
Maka ia adalah satu langkah yang amat wajar untuk memberikan diskaun sebanyak 50% untuk warga emas ini yang menggunakan perkhidmatan LRT, tetapi walaupun ini satu diskaun yang substantif namun saya ingin mencadangkan yang pihak kementerian pengangkutan memberikan warga emas ini prekhidmatan percuma dalam semua jenis pengangkutan awam darat, sekiranya tidak boleh di beri kepada semua jenis pengangkutan darat, sekurang-kurangnya perkhidmatan LRT. Langkah ini pasti menjadi satu hadiah yang istimewa untuk golongan masyarakat yang sumbangan mereka tidak ternilai.
Tan Sri Yang Di Pertua;
Subsidi bahan makanan asas menelan belanja 2.3 billion ringgit dan subsidi produk petroleum dan bantuan tunai pula melibatkan sebanyak 17 billion ringgit untuk satu tahun, pemberian subsidi bil electrik pula 150 Juta ringgit setahun - begitu prihatin Kerajaan Barisan Nasional yang akan sentiasa membantu meringankan beban Rakyat Malaysia - tanpa mengira agama, bangsa dan juga latar belakang pegangan politik mereka.
Rancangan untuk memulakan lebih banyak kedai makanan 1Malaysia dan juga kedai menjual barangan runcit 1Malaysia adalah satu langkah yang amat bernas untuk membolehkan rakyat negara menghadapi keadaan memudaratkan ekonomi sedunia yang tidak stabil.
Dengan adanya kedai-kedai sebegini pihak kerajaan boleh mengawal harga barang barang yang dinaikkan oleh setengah-tengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Langkah tersebut juga akan menjadikan harga di kedai runcit lain serta kedai makanan lain menjadi lebih kompetitif untuk menandingi kedai-kedai 1Malaysia dan ini sekali gus akan merendahkan harga makanan dan barang runcit di pasaran.
Walau bagaimana pun, saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan (dengan kerjasama NGO-NGO seperti FOMCA, PPIM ataupun mana2 badan yang dapat membantu) mewujudkan satu dana khas untuk digunakan terhadap mendidik rakyat untuk lebih peka kepada pilihan mereka sebagai konsumer yang bertanggungjawab. Program-program yang dikelolakan melalui dana ini adalah dengan motif untuk menaikkan kesedaran orang ramai terhadap peranan serta kuasa mereka sebagai pengguna.
Dengan cara sebegini saya yakin yang perniaga-peniaga yang melampau dalam sistem harga mereka akan lebih berwaspada dan harga-harga yang kompetitif akan wujud kerana kenaikkan kesedaran konsumer tentang hak mereka serta pendidikan untuk menjadi konsumer yang bijak.
Tan Sri Yang Di Pertua;
Satu lagi perancangan terperinci belanjawan tahun ini adalah tindakan yang wajar mewujudkan Dana Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) patuh syariah sebanyak 2 billion. Dianggarkan bahawa PKS menyumbang 31% kepada Keluaran dalam negara kasar(KDNK), 56% kepada tenaga kerja dan 19% kepada eksport negara. Sektor sepenting PKS ini patut diberikan galakkan serta stimulus yang mencukupi untuk memastikan ia terus berkembang serta mampu mengharungi segala cabaran ekonomi dunia yang kian mengolara.
Oleh yang demikian saya pasti dana ini akan menjadi pemangkin kepada masa hadapan PKS yang lebih cerah serta menjadikan PKS salah satu enjin penjana pertumbuhan ekonomi negara yang penting. Untuk setiap usahawan yang mencari bantuan kewangan untuk mengembangkan pernigaan mereka dana ini akan membantu mereka memperkasakan perniagaan mereka untuk menjadi pesaing dalam pasaran serantau mahupun dunia. Dana ini menunjukkan pandangan jauh pihak kerajaan untuk memastikkan negara kita tidak dibelenggu menjadi negara berpendapatan sederhana tetapi mampu melakukan anjakan paradigma untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.
Tan Sri Yang Di Pertua;
Sebagai seorang Rakyat Malaysia yang meminati bidang sukan dan mengekori perkembangan industri sukan di Malaysia saya merasa amat gembira dengan hasrat YAB DS Perdana Menteri untuk memartabatkan sukan negara dan menjadikan negara kita sebuah negara bersukan yang berkebolehan. 30 juta ringgit yang diberikan ke arah membangunkan pelbagai sukan di tanahair adalah satu petanda yang baik kepada pemuda-pemudi yang ingin mengibarkan jalur gemilang di pentas dunia kelak.
Saya harap wang ini digunakan dengan bijak khasnya dari aspek mencungkil dan memajukan bakat para olahragawan dan olahragawati negara serta pemain pemain pelbagai sukan di negara kita.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB DS Perdana Menteri atas inisiatif untuk membina 150 lagi gelanggang futsal dan 30 padang tiruan yang di lengkapi dengan lampu limpah - untuk memberikan arena untuk mereka yang ingin bersukan. Bukan sahaja ciri fizikal yang akan menjadi lebih sihat malah dengan mengambil bahagian dalam sukan-sukan sebegini para belia akan tidak terpesong ke gejala yang negatif dan memburukkan dri mereka.
Tan Sri Yang Di Pertua;
Peruntukkan 50 Juta ringgit untuk menambahbaik bekalan air yang melibatkan penyambungan dari estet ke paip utama sedia ada merupakan satu tindakan yang membawa kebahagian kepada penduduk-penduduk di ladang-ladang. Saya amat berharap agar Kementerian Sumber Manusia dapat mengambil tindakan yang sewajarnya supaya ianya dapat di selesaikan segera dan pada masa yang sama, saya juga berharap agar skim perumahan untuk pekerja-pekerja ladang yang tinggal bertahun-tahun lama di ladang-ladang diujudkan.
Tan Sri Yang Di Pertua;
Sejumlah 442 Juta ringgit akan di peruntukkan pada tahun 2012 untuk perbelanjaan Pembangunan PDRM yang mana merangkumi penambahbaikan Ibu pejabat, balai dan pusat latihan - saya ingin mencadangkan agar dalam proses penambahbaikan balai-balai polis, saya harap kita dapat tingkatkan kawalan sistem penyimpanan senjata, ianya perlu diseragamkan secara sistematik dan dipertingkatkan dengan lebih relevan mengikut keperluan masa. Saya perhatikan buat masa ini adalah lebih bersifat konvensional.
Faktor masa dan Keselamatan anggota bertugas ketika berurusan dengan senjata-senjata terlibat perlulah diutamakan kerana tanpa kaedah penyimpanan senjata yang sistematik masa dan nyawa adalah dua elemen yang tiada kompromi dan nilainya.
Tan Sri Yang Di Pertua;
Belanjawan ini juga mengambil kira 175 ribu anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen. Saya pasti 50 Juta ringgit yang diperuntukan oleh Kerajaan akan membantu mereka menampung kos sara hidup mereka.
Saya di fahamkan bahawa pesara tentera peringkat Lain Lain Pangkat tidak mendapat apa-apa kebaikan pun dari kiraan semula pencen ini kerana kiraan semula berasaskan tempoh (lama) perkhidmatan yang berkhidmat melebihi 25 tahun sedangkan semua tentera peringkat LLP telah disyaratkan perkhidmatan mereka hanya 21 tahun sahaja.
Oleh yang demikian, saya ingin mencadangkan agar pesara tentera Lain Lain Pangkat diberi bayaran pencen 60% dari gaji akhir tidak mengira tempoh perkhidmatan dan setiap kenaikan gaji tentera yang sedang berkhidmat termasuk hanya berbentuk pelarasan gaji turut melibatkan pesara.
Tan Sri Yang Di Pertua;
Bantuan kepada Bekas Kakitangan kontrak JASA dan KEMAS di alu-alukan, saya pasti bayaran khas sebanyak tiga ribu ringgit secara one-off akan meringankan beban mereka.
Saya ingin merayu agar anggota-anggota Pasukan Ikatan Relawan Malaysia (RELA) juga di beri bayaran khas ini, kita tidak boleh menafikan bantuan serta kerjasama mereka dengan PDRM untuk membenteras jenayah telah membantu kita mengurangkan peratusan jenayah di negara kita. Semangat Perjuangan mereka yang tinggi tanpa sebarang ganjaran amat di hargai.
Tan Sri Yang Di Pertua;
YAB Perdana Menteri Dan Kerajaan Barisan Nasional ikhlas apabila menyalurkan bantuan kepada semua Negeri-Negeri di Malaysia - walaupun, Negeri itu di tadbir oleh Pakatan Pembangkang.
Sebagai contoh;
Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan geran sebanyak 351.6 Juta ringgit melalui peruntukkan MARRIS (Malaysian Road Records Information System) - dengan izin - pada tahun 2010 kepada Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan - Peruntukkan ini seharusnya digunakan untuk memperbaiki/menaiktaraf jalan-jalan, geran ini juga harus di salurkan kepada Jabatan Pengairan & Saliran dan juga pihak-pihak berkuasa tempatan.
Malangnya, pada tahun 2010 menurut JKR Negeri Selangor hanya menerima 45% dari peruntukkan keseluruhan geran MARRIS Negeri Selangor - Kita tidak tahu apakah yang sebenarnya berlaku kepada geran-geran ini, adakah ianya di gunakan untuk membuat papan iklan?
Saya juga dimaklumkan bahawa YAB Tan Sri Menteri Besar Negeri Selangor Darul Ehsan telah berjanji akan memberi peruntukkan sebanyak tiga Juta ringgit untuk Majlis Daerah Hulu Selangor bagi tahun 2011, tetapi sehingga kini hanya satu Juta ringgit sahaja di turunkan.
Saya rasa ada masalah bagi Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan untuk mentadbir geran ini dan kemungkinan ada penyalahgunaan geran ini juga ujud - kerana Kerajaan Negeri juga tidak memberi maklumat terperinci bagaimana geran ini di pakai guna.
Saya ingin mencadangkan agar peruntukkan MARRIS ini di salurkan terus kepada pihak-pihak berkuasa tempatan - kerana objektif utama geran pemberian Kerajaan Persekutuan harus di gunakan bagi tujuan penyelenggaraan jalan-jalan yang berdaftar di dalam sistem MARRIS sahaja, sebagaimana termaktub dalam perkara 109 (1)(b), Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, saya rasa pihak-pihak berkuasa tempatan lebih arif dan lebih telus dalam mengunakan geran ini.
Tan Sri Yang Di Pertua;
Belanjawan 2012 yang di bentangkan juga telah memaklumkan persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam.
Saya juga berharap agar Syarikat-Syarikat swasta juga turut mengambil keputusan sedemikian, supaya mereka juga dapat mengoptimumkan sumbangan pekerja-pekerja mereka yang telah banyak memberi sumbangan kepada Kemajuan Syarikat tersebut berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka.
Tan Sri Yang Di Pertua;
Kegawatan ekonomi yang melanda Amerika Syarikat yang semakin melumpuhkan pertumbuhan ekonomi di eropah dan sedunia telah menyebabkan pelbagai masalah kepada semua golongan masyarakat di Malaysia. Saya berpendapat bahawa YAB DS Perdana Menteri telah mengambil langkah yang sangat wajar dan betul dengan membuat keputusan untuk menyediakan sebanyak 33.2 billion ringgit untuk kegunaan subsidi.
Langkah ini akan meringankan beban semua rakyat Malaysia daripada perubahan harga yang mendadak dan juga memastikan perbelanjaan seharian tidak melampau sehinggakan tidak boleh dimampu oleh rakyat biasa. Saya juga ingin menyarankan kerajaan untuk bersedia meningkatkan tahap subsidi jika keadaan ekonomi menjadi lebih tenat kerana dah lama menjadi polisi kerajaan BN untuk merancang terlebih dahulu. Bah kata orang “failure to plan is planning to fail” - dengan izin.
Tan Sri Yang Di Pertua;
Akhir sekali saya ingin mengucapkan syabas kepada YAB DS Mohd. Najib Tun Abdul Razak atas perancang belanjawan tahun 2012. Belanjawan ini mempunyai segala ciri-ciri yang diperlukan untuk menerajui negara pada zaman transformasi ini. Saya yakin yang belanjawan tahun ini akan mampu menyediakan kerajaan untuk menyemarakan semangat transformasi dan juga mempraktikkan tema 1Malaysia dengan jayanya.
Majoriti rakyat Malaysia yang mana menyokong Barisan Nasional, malah mereka-mereka yang menyokong pembangkang walaupun tak begitu ramai amat gembira dengan belanjawan ini, kerana secara langsung ataupun tidak langsung akan membantu meringankan beban mereka, saya juga di fahamkan sehingga ketua penerangan parti pembangkang juga menyifatkan belanjawan ini sebagai belanjawan “people centric” - dengan izin,
Terima Kasih kepada saya pihak pembangkang yang telah berbesar hati dan menerima dengan hati terbuka kewibawaan belanjawan tahun ini. Boleh kita simpulkan bahawa belanjawan ini adalah demonstasi kerajaan dalam mendahulukan rakyat bukan sahaja dari segi retorik tetapi dengan perancangan serta implementasi yang kukuh dan effisiyen.
Saya sudahi ucapan saya dengan satu rangkap dalam bahasa tamil - dengan izin - 'Yellam Pugalum Iraivanaku' maksudnya segala puji-pujian kepada Tuhan Yang Maha Esa.
Saya mohon menyokong.
Tan Sri Yang Di Pertua,
sekian terima kasih.
No comments:
Post a Comment