Tuesday, April 10, 2012

PENGUNDI LUAR KAWASAN

3. PENGUNDI LUAR KAWASAN

3.1. Jawatankuasa menyusuli syor dalam Laporan Jawatankuasa (DR. 3/2011) supaya SPR menyediakan kemudahan kepada pengundi-pengundi yang berada di luar kawasan pendaftarannya terutama daripada Sabah dan Sarawak serta pengundi dari Semenanjung yang bertugas di Sabah dan Sarawak untuk mengundi di mana-mana tempat mengundi tanpa perlu pulang ke kawasan pendaftaran asalnya.

3.2. Jawatankuasa mengambil maklum kesukaran SPR untuk mengendalikan pengundi yang berada di luar kawasan pendaftarannya untuk mengundi di mana-mana tempat mengundi tanpa perlu pulang ke kawasan pendaftaran asalnya kerana ia melibatkan urusan logistik yang rumit, tenaga kerja yang terhad dan undang-undang sedia ada tidak membenarkan seseorang pemilih mengundi di tempat mengundi yang bukan namanya didaftarkan.

3.3. Jawatankuasa mengambil maklum kehendak Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan warganegara yang bermastautin di dalam sesuatu bahagian pilihan raya berhak mengundi di dalam bahagian pilihan raya itu. Manakala Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 hanya membenarkan seseorang pengundi mengundi di tempat mengundi yang bahagian daftar pemilih yang mengandungi namanya telah diuntukkan.

3.4. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan ini memerlukan kajian dibuat sama ada Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda berhubung dengan isu pemastautinan selain pindaan kepada mana-mana peraturan yang berhubung dengan pilihan raya.

3.5. Jawatankuasa mengesyorkan SPR mengkaji kaedah pengundian terbaik seperti tatacara yang dicadangkan untuk pengundian warganegara Malaysia di luar negara bagi pengundi yang berada di luar kawasan termasuk kaedah pengundian awal tertakluk kepada apa-apa pindaan undang-undang yang berkenaan.

No comments: