Tuesday, August 14, 2012
MY STAND ON SECTION 114A
Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan [Hulu Selangor]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebelum saya memulakan hujah saya, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan takziah saya kepada keluarga Puan Valini kerana Yang Berhormat Senator Datuk P.K. Subaiyyah telah meninggal dunia awal pagi tadi. Takziah saya kepada keluarga beliau. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kerana memberi ruang dan peluang kepada saya untuk berbahas atas rang undang-undang meminda Akta Keterangan ini. Saya sedar bahawa rang undang-undang ini adalah untuk menangani isu-isu, dengan izin, internet anonymity dengan menyediakan fakta berdasarkan owner honest principal, dengan izin, dalam penyiaran melalui internet. Apabila kita mengatakan internet anonymity atau ketanpanamaan internet. Ia merupakan salah satu isu yang harus ditangani. Malah pada tahun 2009 bulan, September, National Information Technology Council (NITC) juga telah membentangkan isu ini sebagai satu isu yang harus kita ambil tindakan kerana ia akan memudaratkan sekiranya tidak mengambil satu tindakan yang cepat.
Maka, hasrat kementerian untuk membuat pindaan ini pada masa ini, walaupun bagi saya sedikit lewat tetapi ia akan membantu kita. Landasan ini sangat penting untuk kita memastikan bahawa generasi masa hadapan akan kurang menaburkan fitnah dan hanya akan menulis berdasarkan kepada fakta-fakta yang ada dan tidak akan melemparkan tohmahan yang tidak ada asas atau pun fakta. Saya juga lihat bahawa pada pindaan seksyen 3, ia memberi satu definisi yang begitu komprehensif. Pentakrifan terhadap komputer ini telah diberikan satu definisi yang begitu komprehensif. Saya pasti ini merupakan akan memasukkan semua kegiatan-kegiatan yang terlibat dalam seksyen ini.
Pada seksyen baru 114A pula, ini pula akan memudahkan penyiasatan dan pendakwaan untuk mengenal pasti siapa sebenarnya anonymous person atau pun, dengan izin, orang yang tanpa nama. Ini sangat penting kerana bukan mudah untuk kita mengenal pasti siapakah mereka pengguna-pengguna yang menggunakan tanpa nama. Saya rasa kini laptop, netbook, notebook, walau apa pun jenis bahan yang kita gunakan, ia harus digunakan seperti kediaman kita, harus dijaga dengan baik. Kunci rumah apabila sekiranya kita hendak keluar. Tidak boleh memberi pinjam komputer kepada kawan-kawan kita kerana ini mungkin juga akan memudaratkan situasi.
Soalan saya Tuan Yang di-Pertua ialah bagaimana pula sekiranya seseorang pengguna ini menggunakan atau pun menaikkan maklumat-maklumat, memuatkan maklumat- maklumat ini dalam siber kafe? Sama ada siber kafe yang ada di Malaysia ini teratur? Pendaftaran, siapa yang menggunakan? Pukul berapa ia digunakan? Pengguna ini boleh menggunakan siber kafe di seluruh Malaysia hanya untuk memuatkan maklumat-maklumat palsu, selepas itu berhijrah ke tempat yang lain. Adakah kementerian bersedia dan apakah cara-cara? Adakah kita akan mengeluarkan satu syarat untuk memastikan penguasa- pengusaha siber kafe ini mempunyai maklumat terperinci siapa yang menggunakan, pukul berapa pendaftaran, alamat penuh pengguna. Semua ini diperlukan supaya kita dapat menjejak langkah mereka yang menabur fitnah menggunakan anonymous ini.
Tuan Yang di-Pertua, perkara yang kedua ialah kita juga tidak mahu mereka yang innocent, dengan izin, atau mereka yang tidak bersalah dihukum. Ini kerana mungkin notebook atau laptop itu kepunyaan saya tetapi digunakan oleh orang lain. Mungkin dihack oleh orang lain, mereka pecah password saya tetapi memuatkan dokumen-dokumen atau maklumat- maklumat yang palsu. Ini juga akan mewujudkan satu keadaan yang mana mereka yang tidak bersalah akan dihukum. Ini tidak harus berlaku. Apakah cara-cara, bagaimanakah kementerian,apakah mekanisme kementerian untuk memastikan mereka yang tidak bersalah ini tidak dihukum?
Tuan Yang di-Pertua, itu sahaja yang ingin saya bentangkan. Saya ucapkan terima kasih dan menyokong rang undang-undang.
Hansard : http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-18042012.pdf ( Mukasurat 30-32)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
What ever you said YB is right. So don't you think this law should be adopted to all cases from murder to theft and rape to cheating, for the fact the whole evidence act should be "you are guilty until proven innocent". This way we will have the new generation be more responsible for their action.
Post a Comment