Thursday, October 21, 2010

REPLY FROM YAB TAN SRI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN TO MY QUESTION ON 20.10.2010



Tuan Kamalanathan a/l Panchanathan [Hulu Selangor] minta Menteri Pelajaran menyatakan adakah kementerian sedar masih terdapat beberapa sekolah di negara kita yang tidak mempunyai infrastruktur yang lengkap seperti bekalan air, bekalan elektrik, tandas yang baik dan bilik darjah yang sempurna. Apakah langkahlangkah yang boleh diambil oleh pihak kementerian untuk mengatasi masalah kekurangan prasarana-prasarana ini.


Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran [Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin]: Tuan yang di-Pertua, terdapat tujuh pertanyaan yang menyentuh pelbagai aspek dalam perancangan dan pembangunan di seluruh negara. Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengemukakan pertanyaan tersebut adalah 

Yang Berhormat Hulu Selangor pada hari ini, Yang Berhormat Lubok Antu, Yang Berhormat Tanah Merah, Yang Berhormat Limbang, Yang Berhormat Kinabatangan dan Yang Berhormat Sarikei. Oleh kerana perkara yang dibangkitkan saling berkaitan dan menyentuh isu-isu pembangunan infrastruktur, maka saya mohon izin untuk menjawab kesemua pertanyaan tersebut secara serentak, Tuan Yang di-Pertua.


Tuan Yang di-Pertua: Sila.


Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin: Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa memberikan keutamaan dan memandang serius aspek-aspek yang menyentuh pembangunan infrastruktur di seluruh negara. Ini adalah untuk memastikan semua rakyat di negara ini tanpa mengira kaum, agama dan lokasi, diberikan hak yang sepatutnya untuk mereka dalam bidang pendidikan.

Oleh yang demikian, usaha yang dilakukan ini selaras dengan Gagasan 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha melaksanakan tanggungjawabnya untuk merealisasikan hasrat rakyat didahulukan dengan melaksanakan pelbagai langkah yang sebaik mungkin.

Di antara usaha berterusan yang dilakukan oleh kerajaan adalah melalui pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, NKRA dan juga NKEA. Di kesempatan ini saya ingin memaklumkan sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan yang menuju ke penghujungnya pada tahun ini, secara keseluruhannya sejumlah RM26.132 bilion telah pun diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia yang melibatkan 15,120 projek termasuk tambahan 808 projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi.

Dari jumlah tersebut, sehingga September 2010, sebanyak 9,566 projek telah berjaya disiapkan dan 5,554 projek masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan. Manakala projek-projek yang tidak dapat disiapkan dalam tempoh RMKe-9, ia akan disambung ke Rancangan Malaysia Kesepuluh.

Seperti yang saya telah maklumkan dalam jawapan saya yang terdahulu ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Kesepuluh, Kementerian Pelajaran Malaysia akan memberikan keutamaan kepada projek-projek berdasarkan kepada keperluan dan kehendak semasa. Dalam konteks ini, Kementerian Pelajaran telah pun menggariskan empat kriteria utama dalam memberikan pertimbangan bagi pembangunan pendidikan untuk tempoh dua tahun pertama RMKe-10 ataupun dengan izin, first rolling plan. Penumpuan yang menjadikan prioriti Kementerian Pelajaran adalah seperti berikut:

(i) Memastikan pencapaian dalam pelaksanaan NKRA;
(ii) memberikan fokus pada peningkatan kualiti guru dan kepimpinan;
(iii) mengutamakan peningkatan kualiti murid; dan
(iv) mengarusperdanakan pendidikan vokasional, teknik dan kemahiran.

Berdasarkan prioriti ini, sudah pastilah hanya pembangunan infrastruktur yang benar-benar diperlukan sahaja akan diberikan keutamaan dan pertimbangan yang sewajarnya. Untuk makluman Yang Berhormat Tanah Merah, Kementerian Pelajaran telah pun selesai menjalankan auditan terhadap semua sekolah untuk menentukan status fizikal infrastrukturnya dan mendapati bahawa terdapat 3% daripada 55,000 bangunan yang diaudit mengalami kerosakan teruk yang memerlukan perhatian segera. Selain itu juga, auditan mendapati sebanyak 5% bangunan sekolah sedia ada mengalami masalah pendawaian elektrik.

Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, kementerian di peringkat akhir tapisan terhadap projek-projek yang akan dicadangkan untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh. Saya tidak dapat mengumumkan secara terperinci senarai projek ini buat masa ini kerana penelitian akhir sedang pun dibuat oleh Unit Pembangunan Perancangan Ekonomi. 


Namun secara kasarnya, bolehlah saya nyatakan di sini bahawa kerajaan telah pun menyediakan siling peruntukan sebanyak RM8.85 bilion untuk Kementerian Pelajaran melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh.

Walau bagaimanapun, sebahagian daripada jumlah itu akan digunakan untuk menyambung projek-projek yang belum selesai di bawah RMKe-9 yang dianggarkan berjumlah RM5.36 bilion, selebihnya merupakan peruntukan untuk projek baru yang akan diagih-agihkan untuk penambahbaikan, naik taraf bangunan, menambahkan bangunan dan pembinaan sekolah baru.
Oleh itu untuk makluman Yang Berhormat Limbang dan Yang Berhormat Lubok Antu dan senarai akhir yang dikemukakan melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh, memang dicadangkan pembinaan dua kelas pra sekolah di bawah projek NKRA dan penambahan bilik darjah beberapa sekolah juga akan dilaksanakan di Limbang. 

Manakala Kementerian Pelajaran berpandangan pembinaan tambahan bilik darjah ataupun menaik taraf adalah lebih mendesak berbanding daripada pembinaan dewan sekolah seperti yang diminta oleh Ahli Yang Berhormat Lubok Antu. Oleh itu di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh ini beberapa buah sekolah akan mendapat tambahan bangunan baru iaitu bilik darjah untuk menampung keperluan dan kesesakan di beberapa sekolah di kawasan Lubok Antu.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan projek-projek tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan dan juga kehendak semasa. Bagi kawasan Kinabatangan pula, untuk Yang Berhormat Kinabatangan yang berkenaan, kementerian telah pun menimbangkan pembinaan sebuah sekolah menengah baru di Kinabatangan untuk disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh bagi menampung keperluan penduduk setempat. 

Tuan Yang di-Pertua, di samping itu kementerian juga telah menumpukan terus projek-projek kemudahan asas yang lain. Oleh itu sebanyak 641 projek bekalan elektrik di sekolah-sekolah luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM1.874 bilion telah pun dilaksanakan termasuk 140 projek solar hibrid yang dilaksanakan dalam dua fasa sejak tahun 2007 lagi. Manakala bagi kemudahan bekalan air bersih pula, pada tahun 2010 sebanyak 564 projek pembekalan air bersih bagi sekolah-sekolah luar bandar di seluruh negara telah dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM197.7 juta.

Kemudahan asas ini akan terus diberikan perhatian dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh bagi memastikan semua sekolah seluruh negara akan mendapat bekalan air bersih serta bekalan elektrik yang sempurna dan ia merupakan Key Performance Indicator (KPI) bagi kementerian. Saya menyedari Tuan Yang di-Pertua, masih terdapat untuk menyediakan infrastruktur yang kondusif di seluruh negara, namun saya bersyukur dan berterima kasih kepada keprihatinan kerajaan dalam membangunkan sektor pendidikan negara ini. Ini dapat dibuktikan melalui peruntukan yang dicadangkan dalam Bajet 2011 iaitu sebanyak RM86.4 bilion bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan pendidikan dan saya amat berkeyakinan kementerian mampu untuk melaksanakan dengan penuh berhemah peruntukan yang diberikan tanpa meminggirkan mana-mana pihak.


Tuan P. Kamalanathan a/l Panchanathan [Hulu Selangor]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih juga saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri kerana sudi memberikan jawapan yang begitu terperinci dan juga menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan sekolah-sekolah di luar bandar. 

Yang Amat Berhormat Menteri ada menyentuh berkenaan pengauditan terhadap sekolah-sekolah dalam menentukan pembangunan infrastruktur. Saya ada dua soalan susulan di sini Yang Amat Berhormat Menteri, soalan saya yang pertama Yang Amat Berhormat Menteri, bagaimanakah caranya Kementerian Pelajaran dapat memastikan hanya sekolah-sekolah yang benar-benar mengalami kerosakan teruk dan memerlukan perhatian segera dapat diutamakan dan yang kedua pula, apakah jaminan yang akan diberikan oleh Kementerian Pelajaran supaya tidak ada soal pilih kasih dalam pengagihan peruntukan ini dapat dilaksanakan, terima kasih.


Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin: Terima kasih Yang Berhormat, Tuan Yang di-Pertua, memang kementerian saya amat menyedari akan keperluan kita untuk meningkatkan tahap infrastruktur dan prasarana pendidikan tidak mengira lokasi atau jenis sekolah. Namun satu pendekatan yang lebih berkesan sekarang ini sedang kita ambil, kita laksanakan untuk menentukan bahawa pembinaan sesebuah sekolah ini atau lain-lain kemudahan ini dilaksanakan berdasarkan keperluan yang sebenarnya.

Maka sebab itulah saya telah mengambil inisiatif untuk kita membuat pengauditan iaitu menilai setiap sekolah yang saya sebutkan tadi 55,000 buah bangunan daripada 10,000 sekolah yang ada di seluruh negara telah selesai kita audit dan di situ kita dapat memastikan tahap keadaan sekolah itu sendiri, sama ada ia memerlukan tindakan yang segera, emergency dalam kes-kes itu untuk kita laksanakan dan ini sudah pun dapat kita kenal pasti. Saya sebutkan tadi lebih kurang 1,900 buah bangunan perlu kita ambil tindakan untuk kita perbaiki dan ini kita akan masukkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh dan peruntukan insya-Allah. Kalau Yang Berhormat di Dewan ini luluskan nanti sebahagian besar peruntukan itu akan kita gunakan untuk menentukan sekolah-sekolah yang memerlukan perhatian awal ini diberikan perhatian yang sewajarnya dan tentulah dalam soal ini kita berhadapan dengan pelbagai orang kata tuntutan, Ahli-ahli Yang Berhormat masingmasing ada sekolah di tiap-tiap kawasan, kalau tidak silap sayalah dan pastinya kalau boleh tiap-tiap kawasan mahukan supaya sekolah yang elok, bangunan yang lebih indah, kemudahan yang lebih lengkap disediakan. Akan tetapi apa pun saya percaya yang penting ialah mesti diambil kira tentang keperluan utama tadi. Jadi soal pilih kasih dari sudut saya tidak ada tetapi tuntutan daripada pihak Yang Berhormat, penduduk, pemimpin tempatan untuk sekolah di kawasan mereka itu diperbaiki itu memang biasalah timbul.

Jadi kalau saya hendak berikan jaminan ini kalau kita menggunakan penanda aras apa yang disebutkan tadi audit yang telah pun disediakan, maka kita harap dalam tempoh beberapa tahun akan datang sebahagian daripada masalah utama yang kita hadapi di kawasan sekolah-sekolah di seluruh negara dapat  kita selesaikan dengan peruntukan yang kita peroleh sekarang.


Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih, saya sambut baik penjelasan Yang Amat Berhormat Menteri Pelajaran sepatutnya pendidikan mengenai langkah-langkah yang diambil dan prinsip Democratization of The Access Quality Education memang diterima pakai sehingga sekarang dengan izin. Yang Amat Berhormat Menteri membicarakan soal pengauditan, saya hendak tanya apakah mungkin daripada penjelasan umum begitu diadakan target yang jelas. Satu tahun maksimum untuk kita menyediakan bekalan elektrik, air, prasarana asas seperti tandas bagi semua sekolah di desa, pendalaman yang tidak mempunyai kemudahan tersebut. 

Tidak perlu kita menjadi jaguh Melayu dan bumiputera kalau perkara asas ini pun Yang Berhormat Sri Gading tidak boleh kita selesaikan. Jadi sebab itu saya minta pertama, jaminan Yang Amat Berhormat Menteri kerana sekurang-kurangnya saya ucapkan tahniah ada pengauditan yang jelas. Boleh tidak dalam tempoh satu tahun, hal ini diselesaikan?

Di samping itu dipastikan beberapa kemudahan asas yang memenuhi empat kriteria yang disebutkan itu diberikan tumpuan. Jadi tidak perlu kita menghebahkan, hebohkan menjadi propaganda murahan tentang kepentingan kaum tetapi memberikan jaminan keadilan bagi semua sekolah yang terpinggir, miskin terutama majoritinya Melayu bumiputera dan sebahagian kecilnya sekolah Tamil dan beberapa sekolah yang melibatkan anak-anak Cina.


Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]


Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin: Terima kasih Yang Berhormat kerana terasa pedas sedikit, mungkin daripada ucapan saya pada Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO semalam, tidak apalah. Akan tetapi pokoknya di sini ialah saya bersetuju kalau ditanya dengan saya kalau boleh jangan ada masalah apa pun di sekolah-sekolah kita ini. Ini kerana matlamat yang kita sebutkan ialah untuk memastikan setiap anak kita diberikan peluang pendidikan yang sebaik-baiknya dalam environment pendidikan yang dikatakan selesa dan ini juga dapat membantu meningkatkan mutu pendidikan dan pembelajaran. 

Itu matlamat kita - jelas. Kita tidak mengira sesiapa - di bandar, di luar bandar, baik ia bumiputera dan bukan bumiputera. Ini sudah pun kita amal sejak Yang Berhormat juga dahulu menjadi Menteri Pendidikan sekarang sudah jadi Menteri Pelajaran, itu komitmen kita.

Akan tetapi memang saya bersetuju bahawa antara perkara-perkara yang kita fikir agak mendesak ialah soal pembekalan elektrik. Oleh kerana saya sedar kalau tidak ada kemudahan seperti itu jadi dia menjejaskan mutu pendidikan dan pembelajaran. 

Bekalan air bersih dan juga soal tandas yang cukup dan sempurna. Ini pun dalam auditan kita, kita sudah dapat maklumat yang saya sebutkan tadi - 5% laporan daripada sekolah yang diaudit memerlukan pendawaian elektrik semula. Jangan dengan sebab tidak dibuat begitu maka sekolah itu akan mengalami kebakaran - nauzubillah kerana wayarnya tripped ataupun menyebabkan kebakaran ini kita hendak elakkan.

Akan tetapi hendak selesaikan dalam tempoh setahun ini kalau boleh ada tongkat sakti, insya-Allah boleh selesai. Akan tetapi kita tidak ada begitu. Satu peruntukan yang kita ada sebagai mana Yang Berhormat luluskan di Parlimen pun begitu besar. Akan tetapi saya maklumkan Yang Berhormat Menteri Kewangan sejumlah itu pun masih tidak mencukupi kerana jumlah yang kita perlukan jauh lebih besar. Waktu kita mengemukakan peruntukan ke Kementerian Kewangan kita memohon sejumlah dua kali lebih besar dengan apa yang telah pun disenaraikan untuk diluluskan di Parlimen.

Akan tetapi priority mesti diberikan sebab itu sebagai mana yang saya sebutkan untuk bekalan elektrik ada dua pendekatan yang kita ambil. Pertama, Kementerian Pelajaran sendiri saya telah pun senaraikan tadi dan kita telah beritahu terutamanya di negeri Sabah. Kita dapati di situ memang ada keperluan untuk kita menguruskan soal bekalan elektrik yang lebih cekap di Sabah dan juga di Sarawak selain daripada kawasan-kawasan lain. Bekalan air, ia ialah dengan satu peruntukan di bawah kementerian dan kita akan selaraskan dengan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah yang di bawah NKRA bertanggungjawab untuk memberi bekalan dan kemudahan kemudahan air bersih dan elektrik ini.

Jadi kalau dengan pendekatan sebegini, saya yakin dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh tidak mungkin boleh selesaikan setahun atau dua tahun, tetapi lima tahun jangka waktu yang sudah itu saya kira mungkin boleh mampu kita selesaikan sebahagian besar daripada masalah bekalan elektrik, bekalan air, tandas dan sebagainya, insya-Allah.

1 comment:

zulkifli said...

Biarlah kita terus dialun mimpi indah oleh jawapan YB Menteri Pelajaran. Sudah berpuluh tahun jawapan dengan nada serupa dilemparkan terhadap soalan yang sama nadanya, namun pada tahun 2010, YB Hulu Selangor masih menanyakan soalan yang sama. Tak jemukah dengan jawapan berbelit dan retorik YB Menteri? Seumpama pegawai parlimen Kementerian Pelajaran menggunakan data bank jawapan untuk menyediakan jawapan Menteri yang cuma menuturkannya sebagai siburung tiung. Terima kasih.